Photobucket

Tuesday 4 September 2012

صفة الادراك

صفة الادراك
 
Sifat Al-Idrak (Mendapat)

Ulama’ telah berselisih pendapat pada menetapkan kewujudan sifat ini dan ketiadaannya. Terdapat tiga pendapat ulamak di dalam perbahasan sifat ini.

 

Pendapat Pertama:

1.      Allah memiliki sifat Al-Idrak

2.      Kemudian ulamak berselisih pendapat pada menetapkannya samada ia hanya satu sifat atau tiga sifat. Tiga sifat itu ialah (ادراك المشموم) mendapat perkara yang boleh dihidu, (ادراك الملموس) mendapat perkara yang boleh disentuh, dan(ادراك المذوق)  mendapat pekara yang boleh dirasa.

3.      Ulamak  yang menetapkan kewujudan sifat ini telah mendefinisikan sifat Al-Idrak sebagai: sifat yang qadim , berdiri di zat Allah, fungsi sifat ini adalah bertakluk dengan perkara yang boleh disentuh, perkara yang boleh dihidu, dan perkara yang dirasa tanpa berhubung dengan tempatnya(محالها), dan tidak berkeadaan dengan ciri-cirinya(تكيف بكيفيتها).

4.      Ulamak-ulamak ini berpendapat untuk menetapkan sifat ini   berdasarkan  hujah mereka:

(1)   perkara-perkara yang didapati serta perkara yang bertakluk dengan sifat Al-Idrak adalah berbeza dapatannya daripada sifat Ilmu, kerana perbezaan yang jelas di antara keduanya (yakni Ilmu dan Idrak).  Adapun kemestian (kelaziman) bertakluk (تعلق) dengan tempat (محال) dan berkeadaan dengan ciri-cirinya        (تكيف بكيفياتها) adalah kelaziman adat yang boleh bersalahan (bercanggah) di sisi Allah Ta’ala seperti sifat Mendengar dan Melihat.

(2)   dan kerana Al-Idrak adalah sifat yang mana jikalau Allah tidak bersifat dengan  sifat ini, nescaya Allah bersifat dengan lawan sifat ini, dan ianya adalah satu kekurangan . Setiap kekurangan ke atas Allah adalah mustahil. Maka wajiblah Allah bersifat dengan sifat ini. Demikianlah pendapat Al-Qadhi Abu Bakar Ibnu Arabi dan Imam Al-Haramain dan mereka yang sependapat dengan keduanya.

 

 

Pendapat Kedua:

1.      Allah tidak memiliki sifat yang dinamakan Al-Idrak yang berlainan daripada sifat Al-Ilmu.

2.      Ulamak-ulamak yang menyokong pendapat ini berhujjah bahawa:

(1)   Di antara sifat Al-Idrak ini dan perhubungannya dengan perkara yang ditakluknya (متعلقات) adalah terdapat kelaziman akal.  Perhubungan itu mustahil berlaku ke atas Allah Ta’ala. Kemustahilan pada perhubungan ini mewajibkan mustahilnya sifat Al-Idrak.

(2)   Tidak semestinya  dengan menafikan sifat Al-Idrak membawa kepada Allah itu bersifat dengan sifat lawannya kerana telah menyeluruh sifat Ilmu terhadap perkara-perkara yang ditakluknya(متعلقات).

(3)   Pegangan dalil pada menetapkan sifat Allah seperti sifat Al-Idrak adalah berdasarkan dalil sam’ie , namun tidak pernah diterangkan sifat ini di dalam  mana-mana dalil sam’ie, dan tiadalah perbuatan Allah yang menunjukkan ke atas perkara ini. Maka wajiblah disucikan Allah daripada sifat ini.

 

 

Pendapat Ketiga:

1.      Diam  dan tidak memberi komentar pada permasalahan sifat ini.

2.      Inilah pendapat sekumpulan daripada ulamak-ulamak akibat terdapat pertentangan dalil-dalil di kalangan penyokong sifat ini dan penentangnya. Maka pendapat ketiga ini tidak memutuskan keputusan mereka untuk menetapkan sifat Al-Idrak dengan membezakannya daripada sifat Ilmu kerana pendapat yang dipegang  pada menetapkan sifat-sifat ini tidak terhenti di atas dalil Sam’ie (yakni Al-Quran dan Sunnah)  dan tidak diterangkannya pada mana-mana dalil sam’ie.

3.      Adapun Firman Allah :   , maka maknanya adalah Allah itu menyeluruh pengetahuan dengan sifat melihat.

4.      Mereka juga tidak membuat keputusan untuk menafikan sifat Al-Idrak kerana berpegang dengan sebahagian Az-Zhohiriah bahawa tiada jenis sifat bagi Allah. Pendapat yang dipegangan ini adalah pendapat yang soheh.


(al-haqir 12.00 tengahari - 3/9/2012)

1 comment:

  1. Wynn Las Vegas (Vegas) Casino - JS Hub
    Visit JS Hub today 전주 출장샵 to learn 군산 출장샵 more about the Wynn Las Vegas (Vegas) Casino, a 하남 출장마사지 boutique hotel in 익산 출장마사지 Las Vegas located on the Las 아산 출장마사지 Vegas Strip.

    ReplyDelete