Photobucket

Thursday 6 September 2012

JANJI BAIK (Nikmat & Syurga) & JANJI BURUK (Siksa & Neraka)

JANJI BAIK (Nikmat & Syurga) & JANJI BURUK (Siksa & Neraka)

1. Sebahagian daripada perkara yang harus bagi Allah ialah menepati janji baik (الوعد) dan
janji buruk (الوعيد)


2. Adapun janji baik (الوعد): - Walaupun harus Allah menyalahi janji baikNya dari segi hukum akal, namun wajib bagiNya menepati janji itu dari segi hukum syarak di sisi Al-Asya’irah dan Al-Maturidiah. Ini kerana firman Allah Ta’ala:

3. Adapun janji buruk (الوعيد): - Ulamak Ahli Sunnah telah bersepakat bahawa Allah harus menyalahi janji buruk dari segi hukum akal. - Namun mereka berselisih pendapat bahawa Allah harus menyalahi janji buruk dari segi hukum syarak. :-


  (1) Al-‘Asya’irah berpendapat :

• harus Allah menyalahi janji buruk dari segi hukum syarak dengan hujjah: bahawa menyalahi janji buruk adalah satu kemurahan hati yang patut dipuji si pelakunya. Maka haruslah perkara ini berlaku ke atas Allah kerana Dia Maha Pemurah dari segala yang pemurah.
 
• Janji baik ialah hak hamba yang patut dituntut kepada Allah agar Dia memberikannya. Ini kerana Allah menjaminkan pemberian itu, maka Dia sepatutnya menunaikannya.

• Janji Azab pula adalah hak Allah ke atas hambaNya. Harus bagiNya untuk menunaikan janjiNya atau mengingkarinya.



  (2) Al-Maturidiah berpendapat : wajib Allah menunaikan janjinya dari segi hukum syarak, kerana sesiapa yang menyalahi janjinya adalah bersifat dengan kekurangan. Wajib disucikan Allah Ta’ala dengan segala sifat kekurangan. Yang dimaksudkan dengan kekurangan itu adalah:
• Pembohongan terhadap firmanNya
• Penukaran firmanNya
• Harus tidak mengekalkan orang kafir di dalam neraka.



(3) Pendapat Al-Muktazilah : Allah wajib menunaikan janjiNya yang baik dan buruk dari segi hukum akal dan hukum syarak.

Tuesday 4 September 2012

صفة الادراك

صفة الادراك
 
Sifat Al-Idrak (Mendapat)

Ulama’ telah berselisih pendapat pada menetapkan kewujudan sifat ini dan ketiadaannya. Terdapat tiga pendapat ulamak di dalam perbahasan sifat ini.

 

Pendapat Pertama:

1.      Allah memiliki sifat Al-Idrak

2.      Kemudian ulamak berselisih pendapat pada menetapkannya samada ia hanya satu sifat atau tiga sifat. Tiga sifat itu ialah (ادراك المشموم) mendapat perkara yang boleh dihidu, (ادراك الملموس) mendapat perkara yang boleh disentuh, dan(ادراك المذوق)  mendapat pekara yang boleh dirasa.

3.      Ulamak  yang menetapkan kewujudan sifat ini telah mendefinisikan sifat Al-Idrak sebagai: sifat yang qadim , berdiri di zat Allah, fungsi sifat ini adalah bertakluk dengan perkara yang boleh disentuh, perkara yang boleh dihidu, dan perkara yang dirasa tanpa berhubung dengan tempatnya(محالها), dan tidak berkeadaan dengan ciri-cirinya(تكيف بكيفيتها).

4.      Ulamak-ulamak ini berpendapat untuk menetapkan sifat ini   berdasarkan  hujah mereka:

(1)   perkara-perkara yang didapati serta perkara yang bertakluk dengan sifat Al-Idrak adalah berbeza dapatannya daripada sifat Ilmu, kerana perbezaan yang jelas di antara keduanya (yakni Ilmu dan Idrak).  Adapun kemestian (kelaziman) bertakluk (تعلق) dengan tempat (محال) dan berkeadaan dengan ciri-cirinya        (تكيف بكيفياتها) adalah kelaziman adat yang boleh bersalahan (bercanggah) di sisi Allah Ta’ala seperti sifat Mendengar dan Melihat.

(2)   dan kerana Al-Idrak adalah sifat yang mana jikalau Allah tidak bersifat dengan  sifat ini, nescaya Allah bersifat dengan lawan sifat ini, dan ianya adalah satu kekurangan . Setiap kekurangan ke atas Allah adalah mustahil. Maka wajiblah Allah bersifat dengan sifat ini. Demikianlah pendapat Al-Qadhi Abu Bakar Ibnu Arabi dan Imam Al-Haramain dan mereka yang sependapat dengan keduanya.

 

 

Pendapat Kedua:

1.      Allah tidak memiliki sifat yang dinamakan Al-Idrak yang berlainan daripada sifat Al-Ilmu.

2.      Ulamak-ulamak yang menyokong pendapat ini berhujjah bahawa:

(1)   Di antara sifat Al-Idrak ini dan perhubungannya dengan perkara yang ditakluknya (متعلقات) adalah terdapat kelaziman akal.  Perhubungan itu mustahil berlaku ke atas Allah Ta’ala. Kemustahilan pada perhubungan ini mewajibkan mustahilnya sifat Al-Idrak.

(2)   Tidak semestinya  dengan menafikan sifat Al-Idrak membawa kepada Allah itu bersifat dengan sifat lawannya kerana telah menyeluruh sifat Ilmu terhadap perkara-perkara yang ditakluknya(متعلقات).

(3)   Pegangan dalil pada menetapkan sifat Allah seperti sifat Al-Idrak adalah berdasarkan dalil sam’ie , namun tidak pernah diterangkan sifat ini di dalam  mana-mana dalil sam’ie, dan tiadalah perbuatan Allah yang menunjukkan ke atas perkara ini. Maka wajiblah disucikan Allah daripada sifat ini.

 

 

Pendapat Ketiga:

1.      Diam  dan tidak memberi komentar pada permasalahan sifat ini.

2.      Inilah pendapat sekumpulan daripada ulamak-ulamak akibat terdapat pertentangan dalil-dalil di kalangan penyokong sifat ini dan penentangnya. Maka pendapat ketiga ini tidak memutuskan keputusan mereka untuk menetapkan sifat Al-Idrak dengan membezakannya daripada sifat Ilmu kerana pendapat yang dipegang  pada menetapkan sifat-sifat ini tidak terhenti di atas dalil Sam’ie (yakni Al-Quran dan Sunnah)  dan tidak diterangkannya pada mana-mana dalil sam’ie.

3.      Adapun Firman Allah :   , maka maknanya adalah Allah itu menyeluruh pengetahuan dengan sifat melihat.

4.      Mereka juga tidak membuat keputusan untuk menafikan sifat Al-Idrak kerana berpegang dengan sebahagian Az-Zhohiriah bahawa tiada jenis sifat bagi Allah. Pendapat yang dipegangan ini adalah pendapat yang soheh.


(al-haqir 12.00 tengahari - 3/9/2012)

Siapakah Ahli Sunnah Wal Jama'ah

SIAPAKAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH ???

Siapakah Ahli Sunnah Wal Jamaah??? Persoalan ini perlu dipersoalkan pada setiap masa, tempat & keadaan. Sebenarnya persoalan ini telah lama wujud semenjak kewafatan kewafatan Baginda . Tidak hairanlah seandainya banyak golongan yang mengaku bahawa merekalah golongan yang digelar Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sebahagian daripada mereka sanggup mengkafirkan golongan selain daripada mereka, sebahagian lagi menuduh golongan lain melakukan bid’ah dan khurafat, dan sebahagian yang lain pula mengambil sikap bersederhana di dalam keadaan ini.
 
Mengapakah keadaan ini berlaku? Jawapannya ada pada hadis Nabi yang menyatakan bahawa akan terdapat perpecahan di dalam umatnya pada suatu masa nanti. Hadis Baginda diriwayatkan di dalam Sunan At-Tirmizi, Ibni Majah, Musnad Imam Ahmad dan lainnya. Hadis itu adalah seperti berikut: Saidina Anas telah meriwayatkan satu hadis daripada Nabi bahawa Baginda pernah bersabda : “Akan terpecah umatku kepada 73 golongan, kesemuanya berada di dalam neraka kecuali satu golongan sahaja yang mana Aku dan sahabatku berada di atas jalan itu.” Diriwayatkan daripada Abi Umamah daripada Nabi sabdanya : “ Telah berpecah Bani Israil di atas 71 golongan, dan telah berpecah Nasrani di atas 72 golongan, dan umatku akan lebih satu golongan daripada mereka , semuanya berada di dalam neraka kecuali As-Sawadu Al-A’zhom.
 
Terdapat satu riwayat di dalam Musnad Firdaus yang mendatangkan masalah kepada kita iaitu bahawa seluruh golongan itu berada di dalam syurga kecuali satu golongan. Mereka adalah golongan Zindiq. Hadis ini bertentangan makna zahirnya dengan 2 hadis di atas.
 
Di dalam memahami hadis-hadis di atas, setiap ulamak mempunyai pendirian masing-masing. Antaranya adalah:
 
1) Ulamak yang menolak terus hadis tersebut kerana sanadnya lemah dan hadis ini dihukumkan sebagai hadis dhoif. Antara mereka adalah Al-Imam Ibnu Hazmi Az-Zhohiri yang meninggal tahun 450 hijrah. Beliau adalah asalnya hadis yang kemudiannya berkecimpung dalam bidang Fekah.
 
2) Ulamak yang menerima hadis ini tetapi menolak lafaz “ Semua golongan masuk ke dalam neraka kecuali satu golongan” kerana dikatakan bahawa lafaz ini bukan sebenarnya daripada Rasulullah tetapi tambahan daripada musuh-musuh Islam. Antara mereka adalah Ibnu Al-Wazir.
 
3) Ulamak yang menerima hadis tersebut kerana dipercayai riwayat-riwayatnya tetapi menolak bilangan yang ditentukan hadis kerana bagi mereka bilangan itu bukanlah yang dikehendaki & difahami di dalam hadis itu. Kaedah yang dipegang oleh pendapat ini sering digunakan untuk memahami hadis-hadis yang selainnya. Pendapat inilah yang dipegang oleh guru penulis As-Syeikh Dr. Muhammad Bin Ibrahim Al-Khauli ulamak Al-Azhar di dalam bidang Usuluddin dan Dakwah. Penulis juga berpegang dengan pendapat gurunya ini.
 
4) Ulamak yang menerima hadis-hadis tersebut serta membahaskan perkataan “ الأمة “ yakni “Umat”. Mereka membahagikan umat Nabi kepada 2 golongan. Pertamanya adalah Umat Dakwah iaitu golongan yang sampai dakwah Baginda . Golongan yang kedua adalah Umat Ijabah iaitu golongan yang sampai dakwah Baginda kepada mereka dan mereka menerimanya.  Jadi , golongan yang terselamat daripada neraka adalah Umat Ijabah.
 
Permasalahan sekarang golongan manakah yang dinamakan Ahli Sunnah Wal Jama’ah? Al-Imam Abdul Qhohir BinThohir Al-Baghdadi yang meninggal pada tahun 429 hijrah telah menyenaraikan 8 golongan yang boleh dinamakan Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Mereka adalah :
 
1) Golongan yang sangat mendalam ilmu mereka di dalam bab-bab Tauhid, kenabian, hukum-hukum bagi janji baik (الوعد) dan janji azab (الوعيد) , dosa , pahala, syarat-syarat ijtihad, imamah, kepimpinan, dan mereka berjalan di atas jalan dan manhaj Ulamak Ilmu kalam yang tersuci daripada At-Tashbih , At-Takthil , daripada bid’ah golongan Ar-Rofizoh, Al-Khawarij, Al-Jahmiah , An-Najjariah dan sekalian golongan mengikut hawa nafsu yang sesat.
 
2) Imam-imam Fekah daripada golongan Ahli Rakyi , Ahli Hadis yang mana mereka ini beriktikad dengan mazhab-mazhab As-Sofatiah di dalam Usuluddin.
 
3) Ahli Hadis yang mana mereka ini sangat mendalam ilmu mereka di dalam jalan Akhbar dan sunan yang datang daripada Nabi .
 
4) Golongan yang sangat mendalam dalam ilmu yang berkait dengan kebanyakan bab-bab Adab, Nahu , Sorof, dan berpegang dengan imam-imam Ahli Bahasa, dan tidak mencampurkan amalan mereka dengan bid’ah-bid’ah Al-Qodariah, atau Ar-Rofizhoh, atau Al-Khawarij .
 
5) Golongan yang mempunyai ilmu yang luas di dalam bidang wajah-wajah bacaan Al-Quran, tafsir , takwil, dan bukan daripada takwilan yang mengikut hawa nafsu dan sesat.
 
6) Sebahagian mereka adalah golongan yang Zuhud dan Sufi .
 
7) Golongan yang mempertahankan Islam menentang musuh-musuh Islam dan menjaga umat Islam dan mempertahankan mereka di samping mengikut akidah Ahli Sunnah.
 
8) Semua negara yang berpegang dengan syiar Ahli Sunnah selain daripada negara yang berpegang dengan pendapat yang mengikut hawa nafsu yang terpesong.
 
 
Al-Qodhi Abu bakar Bin Al-Arabi menyenaraikan 4 golongan Ahli Sunnah iaitu:
 
(1) Ahli Hadis penjaga agama.
 
(2) Ulamak Usuluddin yang berusaha menentang kumpulan yang sesat, pembawa bid’ah dan yang mengikut hawa nafsu yang sesat.
 
(3) Ulamak Fekah yang menentukan kaedah-kaedah ibadah.
 
(4) Ahli Sufi yang mengosongkan diri untuk beribadat dengan Allah.
 
 
Ibnu Taimiah juga menyatakan 3 golongan Ahli Sunnah iaitu:
 
(1) Ahli Hadis dan mereka yang bertepatan dengan manhaj mereka.
 
(2) Imam-imam Fekah.
 
(3) Imam-imam Ilmu Kalam daripada ulamak yang benar (yakni Ulamak Salaf dengan makna Salaf dahulu & bukan istilah Salaf sekarang . Imam Ilmu Kalam juga termasuk Imam Al-Asy’ari dan Al-Maturidi)
 
Dengan pendapat-pendapat ulamak di atas jelaslah bahawa Ahli Sufi juga adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah . Manakala Syi’ah dan golongan yang mentashbihkan Allah seperti Wahabi atau terkenal dengan Salaf pada masa sekarang ( bukan istilah Salaf masa dahulu) tidak termasuk dalam golongan Ahli Sunnah wal Jamaah dan mereka jugalah yang dikenali dengan golongan yang mengikut hawa nafsu serta terpesong daripada kebenaran hakiki.
 
( al-haqir – pada 29 Julai 2011, jam 11.20 mlm)

Monday 12 September 2011

الصراط

Sirathul Mustaqim, Dalil Kewujudannya , Dan Hukum Beriman Dengannya

As-Sirath adalah titian yang memanjang di atas neraka yang mana semua manusia dan jin akan melaluinya samada mereka daripada golongan yang beriman atau tidak. As-Sirath adalah sebahagian daripada perkara As-Sam’iat yang telah disebut di dalam Al-Quran dan Hadis. Maka wajib kita beriman dengannya. Firman Allah:

Surah Yasin ayat-66-(فَاسْتَبَقُوا الصِّرَاطَ)
Maknanya:( (Maka masing-masing mereka menerpa mencari titian As-Sirath))

Sabda Nabi :( ( Dibentangkan As-Sirat di atas neraka , maka aku dan umatku adalah golongan yang pertama melintasinya ))

Sesungguhnya As-Sirat terlebih halus daripada rambut dan terlebih tajam daripada pedang. Sebahagian Ahli Sunnah berpegang bahawa keadaan As-Sirath adalah seperti yang diceritakan . Mereka berpendapat : Tiada ada sebarang halangan untuk hamba Allah berjalan di atas keadaan tersebut (yakni berjalan di atas titian yang lebih tajam daripada pedang dan halus daripada rambut) kerana kuasa Allah mampu merealisasikannya.

Sebahagian ulamak pula berpendapat: Sesungguhnya sifat demikian bukanlah yang dimaksudkan pada zahir hadis tetapi kiasan di atas keadaan yang sangat sukar yang dialami oleh sebahagian golongan yang melaluinya.

Terdapat juga hadis yang menerangkan bahawa Jibril menunggu di awal titian itu dan Mikail pula berada di pertengahan titian itu. Mereka berdua bertanya manusia yang melalui titian itu tentang umur mereka bagaimana dihabiskan, tentang usia muda mereka bagaimana dilaluinya, tentang amalan mereka apakah yang mereka kerjakan, tentang harta mereka daripada mana didapatinya dan ke mana dihabiskan. Di kiri dan kanan As-Sirath itu terdapat mata kail yang mencangkuk sesiapa sahaja yang diperintahkan oleh Allah mencangkuknya.

Manusia berbeza-beza keadaan ketika di atas As-Sirath. Ada yang cepat, ada yang lambat, ada yang terlepas daripada neraka dan ada yang terhumbang ke dalam neraka berdasarkan amalan mereka di dunia. Sebahagian mereka melepasi As-Sirath sekelip mata, sebahagian mereka melintasinya seperti kilat yang menyambar, sebahagian mereka melintasi As-Sirath seperti angin yang bertiup, sebahagian mereka melintasinya seperti burung yang berterbangan, sebahagian mereka seperti kuda yang pantas , sebahagian mereka melintasinya dalam keadaan berlari, sebahagian mereka melintasinya dalam keadaan berjalan, sebahagian mereka melintasinya dalam keadaan merangkak, sebahagian manusia tidak dapat melintasi As-Sirath tetapi terjatuh ke dalam api neraka samada berkekalan di dalamnya atau dalam tempoh yang tertentu. Golongan yang berkekalan di dalam neraka adalah orang kafir . Manakala golongan yang masuk ke dalam neraka dalam tempoh yang tertentu adalah orang mukmin yang melakukan maksiat kepada Allah. Allah berkehendak untuk mengazab mereka di dalam neraka di dalam tempoh masa yang tertentu.

Sebahagian golongan Muktazilah telah mengingkari As-Sirath dan mereka berkata: (Sesiapa yang menyifatkan bahawa As-Sirath dengan bahawasanya terlebih halus daripada rambut dan terlebih tajam daripada pedang , maka mustahil untuk dilalui di atasnya. Seandainya mereka mampu, nescaya terlalu sukar ke atas para Nabi dan para solehin sedangkan mereka tidak akan mendapat kesukaran di Hari Akhirat. Maka wajiblah ditanggung makna As-Sirat di dalam memahami dalil-dalil syarak dengan makna jalan ke syurga atau jalan ke neraka). Maka Ahli Sunnah menjawab bahawa Allah berkuasa untuk menetapkan perjalanan orang yang berjaya melepasinya dan memudahkan ke atas mereka tanpa sebarang kesukaran yang melanda.

Perkara yang wajib kita iktikad adalah bahawa di akhirat terdapat As-Sirath kerana perkara ini masyhur di dalam agama. Penetapan bahawa As-Sirat itu adalah titian di atas api neraka atau bukan titian tetapi kiasan kepada jalan ke syurga atau jalan ke neraka bukanlah satu akidah yang perlu dipegang sehinggakan perlu dikafirkan orang yang mengingkarinya. Hukum yang jelas berdasarkan hadis-hadis dan Ijmak semua ulamak adalah bahawa As-Sirath bermaksud satu titian yang memanjang di atas neraka . Maka sesiapa yang mengingkari As-Sirath semata-mata adalah kafir kerana mengingkari perkara yang masyhur di dalam agama. Barang sesiapa yang beriman bahawa terdapat As-Sirath dan memahaminya dengan makna jalan ke syurga dan neraka, maka dia adalah mukmin yang melakukan bid’ah kerana menyalahi makna zahir bagi segala hadis dan ijmak semua ulamak. Barangsiapa yang beriman bahawa di akhirat terdapat As-Sirath dan bahawasanya adalah titian di atas api neraka , maka dia adalah orang mukmi yang selamat akidahnya.



((#####Kitab (توضيح العقيدة المفيد في علم التوحيد) yang bermakna KITAB PENERANGAN AKIDAH YANG BERFAEDAH DI DALAM ILMU TAUHID BAGI MENSYARAHKAN KITAB KHARIDAH AL-BAHIYAH KARANGAn WALI ALLAH SAIYYID AHMAD AD-DARDIR ulasan Al-Marhum Hussain Abdul Rahim Makki , seorang daripada ulamak specialist (yang mempunyai penguasaan yang tinggi) di dalam bidang Ilmu Tauhid dan Mantiq di Universiti Al-Azhar.#####))


Terjemahan : Ibnu Harun
20 Ramadhan 1432 – bersamaa 19 Ogos 2011
Hari Jumaat – jam 7.00 ptg.
(www.al-judiah.blogspot.com)