Photobucket

Monday 12 September 2011

الصراط

Sirathul Mustaqim, Dalil Kewujudannya , Dan Hukum Beriman Dengannya

As-Sirath adalah titian yang memanjang di atas neraka yang mana semua manusia dan jin akan melaluinya samada mereka daripada golongan yang beriman atau tidak. As-Sirath adalah sebahagian daripada perkara As-Sam’iat yang telah disebut di dalam Al-Quran dan Hadis. Maka wajib kita beriman dengannya. Firman Allah:

Surah Yasin ayat-66-(فَاسْتَبَقُوا الصِّرَاطَ)
Maknanya:( (Maka masing-masing mereka menerpa mencari titian As-Sirath))

Sabda Nabi :( ( Dibentangkan As-Sirat di atas neraka , maka aku dan umatku adalah golongan yang pertama melintasinya ))

Sesungguhnya As-Sirat terlebih halus daripada rambut dan terlebih tajam daripada pedang. Sebahagian Ahli Sunnah berpegang bahawa keadaan As-Sirath adalah seperti yang diceritakan . Mereka berpendapat : Tiada ada sebarang halangan untuk hamba Allah berjalan di atas keadaan tersebut (yakni berjalan di atas titian yang lebih tajam daripada pedang dan halus daripada rambut) kerana kuasa Allah mampu merealisasikannya.

Sebahagian ulamak pula berpendapat: Sesungguhnya sifat demikian bukanlah yang dimaksudkan pada zahir hadis tetapi kiasan di atas keadaan yang sangat sukar yang dialami oleh sebahagian golongan yang melaluinya.

Terdapat juga hadis yang menerangkan bahawa Jibril menunggu di awal titian itu dan Mikail pula berada di pertengahan titian itu. Mereka berdua bertanya manusia yang melalui titian itu tentang umur mereka bagaimana dihabiskan, tentang usia muda mereka bagaimana dilaluinya, tentang amalan mereka apakah yang mereka kerjakan, tentang harta mereka daripada mana didapatinya dan ke mana dihabiskan. Di kiri dan kanan As-Sirath itu terdapat mata kail yang mencangkuk sesiapa sahaja yang diperintahkan oleh Allah mencangkuknya.

Manusia berbeza-beza keadaan ketika di atas As-Sirath. Ada yang cepat, ada yang lambat, ada yang terlepas daripada neraka dan ada yang terhumbang ke dalam neraka berdasarkan amalan mereka di dunia. Sebahagian mereka melepasi As-Sirath sekelip mata, sebahagian mereka melintasinya seperti kilat yang menyambar, sebahagian mereka melintasi As-Sirath seperti angin yang bertiup, sebahagian mereka melintasinya seperti burung yang berterbangan, sebahagian mereka seperti kuda yang pantas , sebahagian mereka melintasinya dalam keadaan berlari, sebahagian mereka melintasinya dalam keadaan berjalan, sebahagian mereka melintasinya dalam keadaan merangkak, sebahagian manusia tidak dapat melintasi As-Sirath tetapi terjatuh ke dalam api neraka samada berkekalan di dalamnya atau dalam tempoh yang tertentu. Golongan yang berkekalan di dalam neraka adalah orang kafir . Manakala golongan yang masuk ke dalam neraka dalam tempoh yang tertentu adalah orang mukmin yang melakukan maksiat kepada Allah. Allah berkehendak untuk mengazab mereka di dalam neraka di dalam tempoh masa yang tertentu.

Sebahagian golongan Muktazilah telah mengingkari As-Sirath dan mereka berkata: (Sesiapa yang menyifatkan bahawa As-Sirath dengan bahawasanya terlebih halus daripada rambut dan terlebih tajam daripada pedang , maka mustahil untuk dilalui di atasnya. Seandainya mereka mampu, nescaya terlalu sukar ke atas para Nabi dan para solehin sedangkan mereka tidak akan mendapat kesukaran di Hari Akhirat. Maka wajiblah ditanggung makna As-Sirat di dalam memahami dalil-dalil syarak dengan makna jalan ke syurga atau jalan ke neraka). Maka Ahli Sunnah menjawab bahawa Allah berkuasa untuk menetapkan perjalanan orang yang berjaya melepasinya dan memudahkan ke atas mereka tanpa sebarang kesukaran yang melanda.

Perkara yang wajib kita iktikad adalah bahawa di akhirat terdapat As-Sirath kerana perkara ini masyhur di dalam agama. Penetapan bahawa As-Sirat itu adalah titian di atas api neraka atau bukan titian tetapi kiasan kepada jalan ke syurga atau jalan ke neraka bukanlah satu akidah yang perlu dipegang sehinggakan perlu dikafirkan orang yang mengingkarinya. Hukum yang jelas berdasarkan hadis-hadis dan Ijmak semua ulamak adalah bahawa As-Sirath bermaksud satu titian yang memanjang di atas neraka . Maka sesiapa yang mengingkari As-Sirath semata-mata adalah kafir kerana mengingkari perkara yang masyhur di dalam agama. Barang sesiapa yang beriman bahawa terdapat As-Sirath dan memahaminya dengan makna jalan ke syurga dan neraka, maka dia adalah mukmin yang melakukan bid’ah kerana menyalahi makna zahir bagi segala hadis dan ijmak semua ulamak. Barangsiapa yang beriman bahawa di akhirat terdapat As-Sirath dan bahawasanya adalah titian di atas api neraka , maka dia adalah orang mukmi yang selamat akidahnya.



((#####Kitab (توضيح العقيدة المفيد في علم التوحيد) yang bermakna KITAB PENERANGAN AKIDAH YANG BERFAEDAH DI DALAM ILMU TAUHID BAGI MENSYARAHKAN KITAB KHARIDAH AL-BAHIYAH KARANGAn WALI ALLAH SAIYYID AHMAD AD-DARDIR ulasan Al-Marhum Hussain Abdul Rahim Makki , seorang daripada ulamak specialist (yang mempunyai penguasaan yang tinggi) di dalam bidang Ilmu Tauhid dan Mantiq di Universiti Al-Azhar.#####))


Terjemahan : Ibnu Harun
20 Ramadhan 1432 – bersamaa 19 Ogos 2011
Hari Jumaat – jam 7.00 ptg.
(www.al-judiah.blogspot.com)

1 comment:

  1. 3 way casinos like Paypal or Mastercard can make money
    3 ways งานออนไลน์ casinos like Paypal or Mastercard can make money. There is a gambling industry in the UK where it is illegal to

    ReplyDelete